PENGLIBATAN AWAL DALAM INDUSTRI FILEM MALAYSIA.


Aku mula mendapat tawaran berlakun dalam sebuah Telemovie yang berjudul "LYLIANA" sekitar tahun 1987, terbitan Iyan Films Productions Sdn.Bhd, arahan arwah ayahanda M.Osman, seorang insan yang ku anggap sebagai Mahaguru, orang yang bertanggung jawab diatas kejayaan aku sekarang ini.

Ayahanda M.OSMAN

Ayahanda M.Osman dan Bonda Afida.

Bila disebut KEJAYAAN, pasti ada yang terpinga-pinga, terutamanya, dan tentunya dikalangan Pengamal dan Pengiat filem itu sendiri, siapakah melaun ni yang kata dia ni berjaya, padahal, tak pernah dengar nama pun dalam industri filem Malaysia ni.

Aku menganggap diri aku berjaya, kerana, cita-cita awal aku, hanyalah ingin nak berlakun drama tv dan ingin digandingkan dengan Faizal Husain. Itu cita-cita aku dalam mencintai dunia seni lakunan ini.

Setelah berlakun telemovie yang pertama, watak kecik je, semadi nadai (jangan tidak) kata rakan iban di Sarawak, aku seterusnya ditawarkan lagi berlakun dalam drama TV 3 episod (SENGKETA)  dan Drama TV (DAWANA & SURIA) terus menerus, juga terbitan syarikat yang sama Iyan Films Productions Sdn.Bhd, dan diarah juga olih Ayahanda M.Osman.

Entah dari sudut mana, arwah ayahanda M.Osman melihat aku pada waktu itu, terus melamar aku ke Semenanjung, bagi meneruskan minat ku dalam dunia lakonan ini katanya. Aku tanpa berfikir panjang pada masa tu, kerna minat dalam dunia lakunan ni memangnya berkobar-kobar. Dapat peluang macam tu, aku terus mengikut ayahanda M.Osman ke semenanjung dan duduk menumpang di rumahnya di Taman Sri Gombak, selama hampir 3 tahun.
AZIZ M.OSMAN

Sesampai di Semenanjung, aku mengikut mereka sekeluarga bergilir-gilir sama ada Aziz M.Osman, Zulkefli M.Osman atau arwah ayahanda M.Osman sendiri, membuat kerja-kerja filem. Dapat juga tumpang sekaki awalnya pegang watak extra jadi driver Taxi ambik Sidi Oraza, dalam filem arahan Zulkefli M.Osman, terbitan Aarti Films Productions Sdn.Bhd. Cakap time tu dengan pilat Sarawak ku yang menebal, banyak kali diketawakan semasa melakunkan adegan tersebut.

Waktu masih mentah giler, tak tau apa, ZERO, BLANK dalam kepala otak tentang kerja-kerja filem ni, aku mula disuruh ikut Aziz M.Osman, cuba-cuba buat kerja jadi propsman, tapi time buat kerja waktu tu, tak kenal pun aku apa jawatan aku masa tu, sekarang baru lah aku tau. Dah tu, dalam bekerja tu lah Aziz ambik aku berlakun, dalam filemnya tu, FANTASIA tajuk asalnya, terbitan Teletrade Sdn.Bhd,  lakunan Mustapha Kamal, Faizal Husain, Erma Fartima, Mellisa Sailla, Kuza dan ramai lagi. Wah..bukan main seronok lagi aku, sekurangnya, di situ aku SUDAH BERJAYA. Kerana Faizal Husain yang ku idam-idamkan untuk digandingkan bersama berlakun, sudah aku rasakan, sudah tertunai. Bermaknanya, yang selebih cerita ku nanti...merupakan bonus-bonus besar buat ku.

ZULKEFLI M.OSMAN

Dalam bekerja membuat filem Fantasia dengan Aziz, Zulkefli M.Osman lak dapat lagi job, selepas selesai filem Suci dalam Debu. Sebuah telemovie KONTRAS yang buat shooting nya di Penang. Aku diminta membantu jugak, pada hal kerja-kerja pengambaran filem Fantasia aziz belum selesai lagi. Disebabkan masih lagi baru mengenal dunia productions ini, aku langsung tak tau apa, tak tau hukum hakam kerja-kerja filem ni, wah sukanya aku, bantu sana bantu sini. Bantu Ayahanda, bantu Aziz, bantu Zul. Jadi pergi lah aku ke Penang begitu sahaja, meninggalkan Aziz tanpa pesan, macam mak bapak aku punya productions.

Cuma setelah hari berganti, minggu berlalu, bulan berjalan, tahun bertaun, belajar dari kesilapan, mengenali kerja-kerja filem dari A hingga Z, barulah aku menyedari, dan tau....SALAH rupanya apa yang aku buat, padan le Aziz kurang senang negok aku time tu. Tapi mereka faham, aku pada masa tu tak kenal apa, tahun-tahun selepasnya, ada jugak aku diambilnya semula, tapi dah naik pangkat sikit, dapat le jadi Pengarah Seni filemnya, SENARIO XX, GILA-GILA PENGANTIN POPULAR dan beberapa buah dramanya yang lain. Dan hingga sekarang, perhubungan kami tetap terus akrab, sering berhubung diantara satu dengan yang lain.

Bonda AFIDA

Bonda Afida juga tidak harus aku lupakan, kerana banyak jasa bakti beliau bersama arwah menjaga aku, bagi makan minum aku, jaga bagaikan anak sendiri, dimarah kalau salah, diajak jalan-jalan kalau FREE, aku tidak akan dapat melupakan semua tu.

Banyak yang aku pelajari dari Keluarga ini. Bukan setakat kerja-kerja filem, aku telah diajar, dididik, dibimbing, hingga menjadi orang. Teguran arwah ayahanda didalam membimbing aku dalam hal-hal agama, sering aku ceritakan kepada anak isteri aku hingga sekarang.

Dan dari titik mula itu lah, aku setahun demi setahun, berpindah dari rumah arwah Taman Sri Gombak, menyewa di Damansara Utama, di Pandan Indah, Kampung Pandan, Desa Pandan, Tmn.Permata, Bandar Baru Ampang dan byk lagi, meneruskan kerjaya ku sehingga dikenali olih rakan teman yang sama-sama berjuang didalam industri Filem Malaysia ini, dan terus dengan kerja-kerja filem ku, sekiranya masih diperlukan sehingga hari ini, walaupun sudah berpindah dan terus menetap di kampung halaman sendiri, di Kuching sarawak ini.

0 Response to "PENGLIBATAN AWAL DALAM INDUSTRI FILEM MALAYSIA."